Penulisan Buku Online / Book Writing Online
.

AKHIR TAHUN SEMBILAN PULUHAN


Gambar penulis pada Hari Ucapan & Penyampaian Hadiah, 1996
dan kata-kata yang dibawa pulang dari sebuah sekolah
di Scarborough, Toronto, Ontario, Canada.

ETIKA KERJA CEMERLANG


Pernyataan dalam bentuk etika mampu membentuk suasana sekeliling yang kondusif dan penuh motivasi dalam sesebuah organisasi. Berikut ini adalah merupakan senarai amalan budaya kerja cemerlang yang penulis dan staf penulis telah sama-sama hayati semenjak dua tahun yang lalu. Kami perlu terus menghayatinya demi mencapai kejayaan yang lebih bagi sekolah kami. Segala usaha kami, insya'Allah, akan diberkati jua. Kerja kami akan menjadi lebih menyeronokkan dan kami akan selalu menyirami hati kami dengan kata- kata etika ini agar kami menjadi lebih berguna kepada pelanggan-pelanggan kami.

KAMI KERJA SAMPAI HABIS.


Kita tidak boleh lari daripada amalan bekerja dalam menjalani hidup. Manusia bekerja sama ada hanya untuk hidup atau untuk apa sahaja tujuan. Ada di antara pekerjaan yang dilaksanakan membuahkan hasil, manakala tidak kurang pula yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat. Tanpa mengira tujuan kami melaksanakan kerja kami, yang penting ialah supaya kerja yang kami buat itu dapat kami habiskan. Ini merupakan sesuatu yang tersangat penting, kerana kami akan mendapat kepuasan daripada kerja yang dapat kami habiskan itu. Walaupun kami mungkin tidak mendapat hasil yang positif daripada apa yang kami kerjakan, kami masih dapat berbangga kerana kerja yang kami buat atau dapat kami habiskan. Ia dapat diselesaikan. Oleh kerana ia telah selesai, tiada siapa dapat membuat tuntutan bahawa kami tidak menyiapkan kerja kami. Kami tidak mahu mendiami rumah yang separuh siap atau tiga perempat siap. Walaupun kami boleh mendiaminya, tetapi sudah pasti ia tidak selesa.

KAMI BUAT SAMPAI SIAP.


Kami perlu mengelak daripada membuat sesuatu sekerat jalan. Apakah yang akan terjadi sekiranya kami tidak pernah dapat menyiapkan sebarang tugas yang kami buat ? Orang tentu akan melabelkan kami sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab. Mungkin ada yang langsung tidak mahu percayakan kami. Pembaziran akan berlaku kerana bahan yang digunakan untuk sesuatu yang kami buat itu tidak boleh dimanfaatkan. Kami tidak mahu menjadi individu yang terkenal dengan amalan "Buat ini tak siap; buat itu tak siap".

Orang semacam ini, kalau berjanjipun tidak pernah boleh ditunaikannya. Ini tentu amat mengecewakan mereka yang menagih janji daripada orang seperti yang penulis gambarkan itu . Oleh itu kami tidak akan mengamalkan tabiat yang negatif seumpama itu. Kami perlu siapkan setiap perkara yang kami pilih untuk buat atau perkara yang diminta kami buat. Ini adalah etika hidup kami. Ia penting kerana ia juga merupakan imej diri kami dan penentu prestasi tugas kami di mana jua kami bekerja.

KAMI PROAKTIF & TAHU KERJA KAMI.


Menjadi seorang yang proaktif merupakan impian hidup kami. Tabiat ini sentiasa boleh menentukan agar kami sentiasa di hadapan. Hikayat lama ada menyebut: "Belum disuruh sudah pergi; belum dipanggil sudah tiba; yang capek datang bertongkat; yang bulat datang bergolek; yang pipih datang melayang....". Kami seronok melaksanakan sesuatu dengan kehendak diri kami sendiri. Kami dapat berbangga sekiranya apa yang kami laksanakan itu membuahkan hasil dan mendapat perhatian orang lain, terutama ketua kami. Apa lagi kalau sekiranya apa yang saya laksanakan itu dapat dimanfaatkan oleh mereka. Kebanggaan dan keseronokan yang dapat dirasakan itu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Upah dalam bentuk ini yang sukar didapati di mana-mana jua. Kami mahu menjadi pencetus ide dan pemula segala macam inovasi, kegiatan dan pembaharuan.

KAMI INOVATIF & FAHAM TUGAS KAMI.


Kami faham bahawa kami hidup dalam dunia yang sentiasa berubah-ubah. Teknologi maklumat telah menjadi begitu canggih sehingga sekarang ini wujud apa yang dipanggil "Information Super Highway" di mana seseorang boleh mendapatkan data dan maklumat menerusi komputer yang dirangkaikan menerusi internet ke serata pelusuk dunia. Kami perlu mampu dihubungkan dan boleh membaca buku yang terdapat di mana-mana universiti di dunia hanya dengan menggunakan komputer kami sendiri. Inilah kemajuan dalam zaman yang dikenali sebagai perpustakaan tanpa dinding dan buku tanpa muka surat.

Sekiranya kami tidak turut berubah, kami tahu kemajuan akan meninggalkan kami. Oleh itu kami amat inovatif dan kami faham akan tugas kami seharian agar kami tidak menyeleweng daripada landasan kerja asas kami. Bukan itu sahaja, kami juga gemar menyebabkan orang lain merasa seronok akibat daripada sifat inovatif kami. Tegasnya, apa yang kami laksanakan boleh dimanfaatkan oleh mereka.

Kami tidak mahu menjadi seorang yang malas bekerja, kerana orang yang malas boleh diibaratkan seperti rumah yang berhantu. Orang takut mendiaminya.

KAMI KREATIF & TAHU KEHENDAK PELANGGAN-PELANGGAN KAMI.


Sebagai seorang pendidik, kami sedar bahawa pelanggan utama kami ialah murid-murid. Murid-murid kami tidak suka kepada seorang pendidik yang malas dan menjemukan. Mereka tentu bosan melihat kami setiap hari sekiranya kami tidak pernah mengeluarkan "idea" atau hasil kerja yang kreatif. Kami tidak mahu berhadapan dengan murid kami dan berinteraksi dengan mereka hari demi hari dengan cara yang tidak berubah-ubah dan ketinggalan zaman. Kami tidak boleh menutup mata dan telinga kami kepada semua yang berlaku di sekeliling kami serta menganggapnya sebagai tidak kena-mengena dengan kami. Murid-murid kami sentiasa mengalami pelbagai bentuk pembaharuan menerusi pendidik lain, ibu bapa mereka, pelbagai media dan rakan-rakan mereka. Takkanlah kami mahu membiarkan mereka mencemuh kami, kerana kami adalah pendidik mereka.

Kami perlu kreatif agar mereka kagum dengan apa yang kami lakukan. Dengan itu mereka akan cepat terpengaruh untuk mendengar cakap kami. Kami rasa inilah cara yang terbaik untuk memikat hati murid-murid kami agar mereka tekun dan rajin mengikuti pengajaran kami. Mereka tentu akan cepat menjadi pandai dan negara pula untung memperolehi kami sebagai seorang pendidik.

KAMI PRODUKTIF & CEMERLANG.

Kami tidak mahu dicap sebagai lembap. Kami juga tidak mahu dicap sebagai seorang petugas yang tidak mampu menyumbang sesuatu untuk organisasi tempat kami bertugas. Kami tidak rela dicap sebagai pekerja yang tidak menghasilkan sesuatu yang berfaedah. Kami tidak mahu hanya mengekor-ekor dari belakang; atau menjadi penumpang dalam sebuah bahtera yang dikendalikan oleh orang lain. Kami mahu menjadi produktif dan dikenali sebagai pekerja cemerlang. Kami menghasilkan kerja yang cemerlang. Pelanggan kami berpuas hati dengan sumbangan kami dan mereka mendapat manfaat sepenuhnya daripada apa yang kami lakukan.

KAMI PAKAR DALAM BIDANG KAMI.


Kami pendidik. Kami pendidik yang ditauliahkan mengajar anak-anak murid kami dalam bidang yang kami pakar. Kami akan menjaga kepakaran kami ini agar kami terus cemerlang sepanjang waktu. Membuat kerja sambil lewa bukan cara kami kerana kami adalah pakar. Kami tentu tidak boleh memeriksa buku-buku latihan murid kami secara tidak betul. Ini akan memalukan kami atau ia boleh menjatuhkan maruah kami sendiri. Ibu bapa mungkin akan menyemak buku yang kami tanda. Jika berlaku kesilapan menanda, tentu kepakaran kami tercemar. Oleh itu, kami tetap akan menjaga kerjabuat kami sebagai seorang yang pakar dalam bidang kami. Kami malu kalau ditegur oleh "Pak Mat Pak Leh" yang tidak pernah dilatih sebagai pendidik. Bukan sahaja kami akan menjaga kepakaran kami, kami juga akan mebuktikan bahawa kamilah orangnya dalam bidang ini.

KAMI BERSIH & CINTAKAN KEBERSIHAN.


Sebagai pendidik, kami mesti sentiasa bersih dari segi luaran dan dalaman. Kami mengamalkan percakapan dan tutur kata yang bersih. Pakaian kami sentiasa bersih dan kemas. Kami perlu tanamkan ke dalam diri murid-murid kami agar gemarkan kebersihan. Sebelum kami mulakan pengajaran, kami pastikan lantai dan dinding bilik darjah kami bersih. Kami tidak pernah memulakan pengajaran sekiranya bilik darjah kami dalam keadaan kotor. Kami juga mempastikan murid-murid kami berada dalam keadaan bersih sama ada dari segi tubuh badan ataupun pakaian mereka. Ia merupakan asas kepada disiplin diri. Jika mereka baru selesai melaksanakan latihan jasmani, kami pastikan mereka menukar pakaian sebaik sahaja selesai berbuat demikian. Kami tidak benarkan murid-murid kami berpakaian sukan dalam bilik darjah. Kami tanamkan perasaan cintakan kebersihan ke hati sanubari murid-murid kami agar pada masa hadapan mereka menjadi rakyat negara maju yang bersih seperti yang terdapat di Jepun atau negara-negara maju lain di dunia sekarang ini.

KAMI BERKONGSI WAWASAN DENGAN AHLI LAIN DALAM SEKOLAH.

Kami faham dengan perjalanan sekolah kami. Kami juga dapat melihat dengan jelas tentang wawasan sekolah kami. Saya sentiasa mengikuti perbincangan dan "pep-talk" yang menggariskan wawasan seluruh warga sekolah kami. Kami pastikan diri kami sehaluan dengan wawasan sekolah yang dihayati oleh setiap orang. Ia menyebabkan kami menjadi sekata dalam semua hal. Kami bergurau senda dengan semua orang. Kami nampak dengan cara ini, kerja yang susah menjadi senang. Semua tugas dibereskan dengan lancar. Ini merupakan akibat daripada kemampuan untuk berkongsi pandangan dan minat.

KAMI BERKONGSI MISI DENGAN AHLI LAIN


Kami bersikap terbuka dan sentiasa bersetuju dengan apa-apa jua yang diputuskan dalam perbincangan untuk mencapai wawasan sekolah. Kami tidak suka menyimpang dari cara yang dipersetujui bersama. Kami yakin cara ini lebih cepat mendatangkan hasil yang cemerlang untuk sekolah kami. Kemampuan berkongsi usaha akan mencemerlangkan organisasi kami. Setiap orng akan merasa bangga dengan kejayaan yang kita capai bersama. Bukan itu sahaja, kami sanggup kalah bersama-sama, sekiranya misi kami gagal. Kami tidak suka membangkang tanpa alasan yang kukuh. Kami juga tidak suka membangkang untuk kepentingan diri kami sendiri. Kami tidak suka mencari apa yang tidak ada kerana kami sedar bahawa itu adalah amalan orang yang negatif sifatnya.

KAMI HAYATI "INTER-PERSONAL TRUST & ORGANIZATIONAL TRUST".

Mempunyai perasaan saling percaya mempercayai antara setiap individu amat penting dalam sesebuah organisasi. Kami mempercayai setiap ahli lain dalam sekolah kami. Kami percaya orang lainpun mempercayai kami. Apalagi, bila kami tahu pihak jabatan pun mempercayai kami. Saya nampak ketua kami pun mempercayai kami. Sungguh seronok berada dalam organisasi macam sekolah kami; tiada ketegangan dan tiada pertengkaran. Semuanya berjalan dengan penuh harmoni. Banyak kerja-kerja yang berfaedah dan berguna untuk murid-murid dapat dihasilkan. Jika kami ditanya tentang tempat kerja pilihan kami, jawabnya mudah sahaja; iaitu: "Inilah tempatnya". Berikan kami pilihan yang lain; sudah pasti saya akan menolaknya. Memang sukar untuk mendapat sebuah tempat kerja di mana kami dipercayai. Ramai orang suka bercakap tentang gaji yang lebih lumayan, tetapi yang penting bagi kami ialah tempat kerja yang saya suka kerana ia dapat memberikan kami kesihatan fizikal dan mental yang wang ringgit tidak dapat berikan.

KAMI BANGGA DENGAN SEKOLAH KAMI.


Nikmat akan bertambah jika kita bersyukur. Oleh itu kami bersyukur bekerja di sekolah ini. Kami amat bangga dengan sekolah kami. Kami seronok melihat sekolah kami mencapai kejayaan demi kejayaan. Kami bangga menjadi sebahagian daripada organisasi ini. Kami seronok mendengar pujian yang diberikan kepada sekolah kami kerana kami adalah sebahagian daripadanya. Kami tahu bahawa kami juga adalah seorang penyumbang yang aktif dalam setiap kejayaan yang dicapai walaupun kami hanya seorang pekerja yang paling bawah.

KAMI TUNJUKKAN KELEBIHAN DIRI.

Kani percaya sesebuah negara tidak akan dapat menjadi maju sekiranya rakyat negara itu asyik mencanangkan kelemahan diri masing-masing. Oleh itu, kami gemar menunjukkan kelebihan diri kami untuk dimanfaatkan oleh seluruh warga sekolah. Kami tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk, tetapi kami berbuat demikian kerana kami tahu kelebihan yang ada pada diri kami adalah juga pemberian Allah. Kami tidak mahu kelebihan itu dibazirkan begitu sahaja. Kami tidak mahu menyembunyikan kelebihan diri kami kerana itu menunjukkan kami tidak bersyukur dan ia akan merugikan organisasi. Kami melaporkan apa yang kami buat kepada ketua kami kerana ketua kami bukan ahli nujum. Beliau mungkin tidak tahu jika kami tidak mengambil inisiatif memberitahunya tentang apa yang kami laksanakan.

Setiap orang di dunia ini mempunyai kelebihan diri masing-masing. Kami percaya sekiranya kelebihan itu di gabung dan diadunkan, seluruh dunia akan menjadi tempat yang lebuh baik untuk didiami. Tentu kita tidak pernah dengar tentang "Anugerah Kelemahan" atau "Pertandingan Kebodohan". Cuma, yang pernah kita dengar adalah anugerah seperti "Anugerah Cemerlang" atau anugerah lain seumpamanya.

Setiap individu di dunia ini, termasuklah kami, memiliki banyak kelemahan diri. Cuba kita bayangkan apa akan terjadi sekiranya kita asyik mempamerkan kelemahan diri kita asing-masing ? Kita hebahkan bahawa kita malas, kita tak tahu membuat sebarang kerja, kita lemah dan sebagainya. Kami tidak pandai buat itu dan ini. Kami percaya seluruh organisasi akan menjadi porak-peranda, kucar-kacir dan kacau-bilau.

KAMI AMALKAN BUDAYA "ZERO-FEAR".


Kami berani bercakap dan mengeluarkan pendapat. Kami juga berani mencuba sesuatu yang baru dalam melaksanakan tugas harian. Kami tidak takut menghadapi risiko, kerana risiko yang tinggi akan beroleh kejayaan yang juga tinggi. Kami bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang kami laksanakan dan kami berani menerima kritikan dan kekeciwaan.

Di antara kualiti lain yang kami ada ialah kecepatan mengenalpasti kelebihan rakan sekerja kami. Apabila kami melihat atau mendengarnya, dengan tidak membuang waktu kami terus memuji-muji mereka. Kami seronok melihat kejayaan atau kelebihan rakan sekerja kami. Tidak ada sebab mengapa kami mesti cemburu sebab Tuhan tidak mengurangkan kelebihan kami jika kawan kami berjaya. Ia tidak seperti membahagikan sekeping kek, di mana bahagian kita diberikan kepada orang lain. Tuhan memberikan bahagian kita masing-masing. Cemburu bererti menidakkan pemberian Tuhan, kerana setiap kelebihan adalah pemberian Tuhan.

Kami tidak menyimpan perasaan malu yang tidak kena pada tempatnya. Jika kami malu untuk melakukan sesuatu yang baik, cepat-cepat kami ketepikan perasaan itu kerana kami tidak perlu lagi malu-malu. Bangsa lain telah lama meneroka angkasa lepas; bangsa kami masih lagi malu-malu untuk melaksanakan sesuatu yang baik, sehinggakan kita malu untuk mengutip sampah di halaman sekolah.

Kami tidak lokek berkongsi pengalaman dan pengetahuan kerana inilah aset yang perlu dikongsikan demi kemajuan bangsa dan negara.

Perasaan takut dan ragu-ragu juga telah lama kami ketepikan, kerana ia boleh menyekat kemajuan diri dan organisasi. Tiada lagi "fear" di di sekolah kami. Boleh dikatakan kami sentiasa "on the move". Kami bekerja dan bekerja; walaupun letih, tetapi seronok.

KAMI ADALAH PEMIMPIN & "ROLE-MODEL".

Setiap orang di sekolah kami adalah pemimpin. Bukan itu sahaja, setiap orang murid adalah juga pemimpin. Kami tahu benar bahawa sesebuah sekolah yang cemerlang itu harus mempunyai ramai pemimpin. Kami bangga bahawa kami semua adalah pemimpin. Tiada tempat bagi mereka yang enggan mengaku diri mereka pemimpin di sekolah kami. Pemimpin adalah mereka yang sentiasa proaktif dan sentiasa berada di barisan hadapan. Inilah ciri berdaya maju yang sering dipupuk di sekolah kami. Hasilnya, kami semua cukup pantas bergerak. Setiap hari berlalu dengan penuh inovasi dan kreativiti demi kebaikan murid-murid.

Di smping itu, kami tidak boleh lupa bahawa saya adalah "role-model". Murid-murid mencontohi kami. Setiap gerak-geri kami menjadi tontonan murid-murid. Kami perlu berhati-hati setiap waktu agar tidak terlepas kata dan cara kerana ia buruk padahnya. Kami tidak mahu menjadi apa yang dikata: "Guru kencing berdiri; murid kencing berlari". Waktu berhadapan dengan mereka banyak contoh teladan yang kami tunjukkan. Kami tidak rela mengeluarkan lulusan yang tidak selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara. Justeru itu, kami adalah contoh kepada murid-murid kami dua puluh empat jam sehari.

KAMI CEPAT BERTINDAK, BERKUALITI DAN BERKESAN.

Motto terbaru sekolah kami berbunyi: "Cepat, Berkualiti, Berkesan". Kami tidak mahu melihatnya sebagai sebuah motto yang kurang bermakna. Kami cepat dalam melaksanakan semua kerja kami. Kami cepat bertindak balas sepada sebarang keperluan. Kami sentiasa pastikan bahawa setiap yang kami lakukan adalah juga berkualiti. Ini penting kerana tiada faedahnya kami cepat tetapi tidak bermutu. Orang tua-tua berkata, " Biar lambat asalkan selamat". Kami bukan tidak yakin lagi kepada kata-kata itu, tetapi kami percaya dalam era "koridorraya teknologi maklumat" ini, semuanya perlu kompetitif dan cepat. Seorang kenalan dari Kuala Lumpur yang melawat sekolah kami berkata bahawa kita tidak boleh mengikuti Jepun jika ingin maju. Kami tanya, "Mengapa ?". Jawabnya, " Kita perlu mendahului mereka !". Lalu, kami terus bersetuju dengannya, kerana selama ini pun kami amat bersetuju dengan idea yang seumpama itu.

Kami juga selalu mengamalkan tabiat mempastikan setiap yang kami lakukan mestilah berkesan. Kami percaya setiap yang berkualiti itu semestinya berkesan. Cakap yang berkualiti adalah cakap yang berkesan. Malah sembang-sembang kosong pun, jika berkualiti, boleh mendatangkan kesan. Sembang-sembang berkualiti mungkin sembang-sembang yang tidak bercampur unsur-unsur mengata-ngata orang.

Jadi, kami dan setiap staf sekolah kami mengamalkan budaya cepat, berkualiti dan berkesan. Kami mengamalkan pengajaran yang berkualiti. Kami mempastikan pembelajaran juga berkualiti. Kami cepat bertindak serta mengenal pasti kelebihan dan kelemahan murid-murid kami. Kami cepat mencungkil potensi murid-murid kami agar mereka cepat maju dalam semua bidang.

KAMI MENYALAHKAN DIRI SENDIRI LEBIH DARIPADA MENYALAHKAN ORANG LAIN.

Kegemaran suka menyalahkan orang lain pernah disebut sebagai budaya: " Bangau Oh Bangau". Mereka yang mengamalkan budaya ini tidak pernah mahu mengaku akan kesilapan sendiri. Mereka seboleh-bolehnya menyandarkan sebab sesuatu kegagalan ke atas orang lain. Ciri-ciri seumpama ini boleh merosakkan sesebuah organisasi. Pertengkaran dan selisih faham akan mudah berlaku.

Kami lebih suka menyalahkan diri kami serta mencari kesilapan diri kami sendiri sekiranya berlaku sesuatu yang tidak kena dalam apa sahaja yang kami laksanakan. Dengan cara itu kami mudah mengenalpasi kesilapan dan cuba mencari jalan untuk mengatasinya. Jika kami bebankan kesalahan itu terhadap orang lain, usaha untuk memperbaiki kelemahan akan menjadi terbantut kerana banyak waktu akan dihabiskan untuk salah menyalahkan dan bertengkar. Kami menjadi lebih bertanggungjawab jika kami mengaku kesilapan diri kami. Ketua kami akan lebih yakin dan percaya kepada kami. Keadaan ini boleh mendorong kami untuk terus mencuba sehingga kami berjaya. Kami juga akan disenangi oleh semua orang. Ini pula boleh menjadi ubat yang amat mujarab untuk menjadikan diri kami seronok di tempat kerja. Keseronokan menyebabkan kami lebih produktif.

KAMI TIDAK MENGUMPAT.

Perkara yang paling seronok dilakukan ialah bercakap mengenai keburukan orang lain. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa orang yang kita perkatakan itu adalah rakan kita sendiri. Agama Islam memandang berat amalan sebegini. Tabiat ini menimbulkan puak dalam organisasi serta boleh menyebabkan perpecahan.

Kami mengelakkan diri daripada mengamalkan tabiat buruk ini. Kami tidak mengata-ngata orang lain kerana kami sendiri pun ada banyak kelemahan.

Kami tidak suka orang lain mengata-ngata kami. Orang lain pun mempunyai perasaan yang serupa. Oleh itu memang wajar bagi kami untuk menyekat diri kami daripada melakukan amalan buruk ini. Dunia akan lebih ceria dan menjadi tempat yang seronok untuk didiami sekiranya amalan seumpama ini ditinggalkan oleh semua orang. Kami berpegang kepada prinsip bahawa keburukan bukan sesuatu yang elok disebut-sebut dan dibincangkan. Kami percaya perbincangan mengenai kebaikan dan kelebihan adalah lebih berfaedah dan boleh dimanfaatkan.

Mengata-ngata orang merupakan kerja orang sombong. Dr. Fadillah Kamsah* (Di TV3) berkata bahawa orang sombong adalah orang bodoh. Kami tidak mahu dicap:"Bodoh". Kami tidak perlu mengata-ngata orang lain kerana ini amalan mereka yang kurang beriman. Ia juga menyebabkan kita melakukan dosa besar mengikut hukum agama.

Apabila amalan kata mengata ini lumrah berlaku, organisasi akan menjadi rosak dan kerja berpasukan sukar dihayati. Kami rasa ini akan merosakkan organisasi kami. Kami tetap akan terus mengelakkan diri daripada mengamalkan tabiat yang sangat buruk ini.

KAMI SERONOK DI SINI.

Inilah tempat kami habiskan sebahagian besar waktu kami. Kami perlu seronok di sini. Kami perlu merasakan seolah-olah seperti dalam sebuah keluarga. Kami seronok di sini kerana tempat ini kondusif. Ramai orang mengeluarkan wang beribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan keseronokan. Ada di antara mereka menyewa bot untuk memancing di laut, misalnya; walaupun kadang-kadang tidak mendapat sebarang tangkapan. Inilah harga keseronokan. Oleh itu, kami rasa keseronokan di tempat kerja merupakan hadiah yang tidak ternilai harganya. Kami mahu mengekalkan suasana ini kerana kami dan rakan-rakan akan menghabiskan sebahagian besar hidup kami di sini.

KAMI HAYATI BUDAYA IHSAN.

Kami percaya mengamalkan budaya ihsan merupakan satu cara untuk memupuk pencapaian cara hidup cemerlang. Kami berusaha untuk melakukan kebaikan kepada semua pihak dan sentiasa berusaha untuk mencapai tahap kecemerlangan. Kami perlu sentiasa bermurah hati dan tidak kedekut; menghulurkan derma kepada yang amat memerlukan. Di samping mengutamakan ibu bapa kami sendiri, kami perlu juga mengutamakan warga sekolah di mana kami bekerja dan mendapat keseronokan. Kami tidak mahu ketinggalan dalam usaha membantu anak-anak yatim dan murid-murid yang miskin.

Amalan baik ini lebih daripada kadar kewajipan mengikut Islam. Ia termasuk (bagi yang Islam) menyembah dan memperhambakan diri kepada Allah seolah-olah kita melihatNya dan Allah sentiasa melihat kita. Tuhan juga melihat kita malas dan ponteng kerja. Kemudian, kita meminta balasan baik daripada Tuhan. Kami percaya cara itu tidak kena.

KAMI ISTIQAMAH DALAM KERJABUAT KAMI.

Kami mempunyai hati yang sentiasa tetap, tekun dan sentiasa terus menerus dalam menggiatkan usaha untuk mencapai cita-cita kami dan organisasi kami. Kami tahu sifat ini merupakan amalan terpuji dalam Islam dan perlu dimiliki oleh setiap orang Islam. Kami pantang berundur atau lemah semangat. Amalan "hangat-hangat tahi ayam" bukan cara kami. Keadaan "turun naik" (Kadang-kadang bersemangat; kadang-kadang tidak) yang terlalu kerap dalam melaksanakan kerjabuat kita menyebabkan kita sukar mencapai kejayaan. Untuk mencapai kejayaan kita mesti istiqamah dan gigih. Kegagalan bukan merupakan halangan; malah ia merupakan peluang untuk mencari jalan memperolehi kejayaan yang lebih tinggi.

KAMI MAJU & SENTIASA DI HADAPAN.

Kami tahu bahawa setengah individu merasakan tidak wajar mengaku diri sendiri maju dan sentiasa di barisan hadapan. Kononnya, menurut mereka, amalan ini takbur atau seumpama menyatakan keegoan diri. Kami tidak melihatnya begitu. Kami merasakan bahawa kita perlu mencanangkan kelebihan diri agar keadaan sekeliling sedar tentang kelebihan itu untuk dimanfaatkan bersama. Kami rasa, kita tidak mampu mengorak langkah ke hadapan sekiranya kita tidak mampu mengaku diri kita maju. Kita perlu sirami hati kita dengan budaya "Yakin Boleh". Kita perlu yakin bahawa kita maju dan kita perlu yakin yang kita sentiasa di hadapan (Bukannya ke hadapan; kerana jika hanya ke hadapan, kita belum lagi sampai di hadapan). Kami mahu merasakan bahawa kami sudahpun di hadapan. Bagi kami, inilah kemajuan.

KAMI MEMUJI DENGAN 101 CARA.

Di negara maju pemupukan rasa kasih sayang berlaku dengan hebatnya di kalangan pendidik, murid-murid dan lain-lain. Murid-murid di sana sentiasa mendapat perhatian dan kasih sayang daripada pengetua dan pendidik. Budaya menyapa diamalkan setiap waktu.

Memberikan pujian bukanlah suatu perkara mudah dalam kehidupan kita di Malaysia. Ini mungkin budaya dan cara hidup kita yang sentiasa beranggapan bahawa tanpa menyatakan apa-apapun orang sedar kita memuji mereka. Inilah perkara yang menyebabkan seorang suami yang pulang dan makan hidangan isteri yang sedap sehingga kenyang dan merasakan tidak perlu memberikan apa-apa pujian kepada isteri kerana memasak yang sedap itu. Si isteri tentu akan merasa cukup seronok kalau si suami dapat keluarkan walaupun hanya pujian seperti,"Sedapnya masakan hari ini!". Si isteri tentu akan cuba memasak lauk yang lebih sedap pada waktu akan datang.

Demikianlah halnya dengan murid-murid di negara maju. Mereka dilayan dan dipuji dengan penuh mesra. Di antara ungkapan yang dapat dipetik adalah seperti:You are great; Good job; Hot Dog; You mean the world to me; Say I love you dan lain-lain. Ungkapan untuk memuji seumpama ini amat banyak dalam bahasa kita. Kita perlu menggunakannya secara maksimum agar budaya memberikan pujian ini boleh merangsang pembelajaran di kalangan murid-murid kita. Mereka akan merasa dihargai dan perasaan begini amat berfaedah bagi murid-murid yang masih kecil agar mereka terdidik dalam suasana dan perasaan yang terpupuk dan segar.

Kita hendaklah mengelak daripada amalan sukar untuk menyatakan perasaan. Kita hendaklah mengelak daripada amalan membuat andaian-andaian tentang pemahaman orang lain mengenai apa yang kita fikirkan. Tanpa memberitahu fikiran kita yang sebenar, kita mahu orang merasakan apa yang kita fikir itu. Ini tidak mungkin boleh terjadi. Jika kita perlu mengeluarkan kata-kata pujian, kita hendaklah mengeluarkannya tanpa segan silu. Ini amat berfaedah kerana orang yang kita puji akan merasa amat selesa dan seronok, apa lagi jika orang yang kita puji itu terdiri daripada murid-murid yang masih kecil. Kata-kata pujian merupakan ubat yang amat mujarab untuk memotivasi sesiapa sahaja.

Pendidik-pendidik pula dipuji oleh guru besar dalam perhimpunan kerana sesuatu kejayaan yang dicapai oleh murid-murid.

CADANGAN AMALAN BUDAYA " SEKOLAH BESTARI" DI SEKOLAH YANG PENULIS PIMPIN

Setelah mengikuti semua seminar yang dianjurkan oleh kementerian mengenai sekolah bestari di peringkat kebangsaan, penulis mendapat ilham untuk menukar sekolah yang penulis pimpin agar mengamalkan budaya sekolah bestari. Penulis dasarkan rancangan itu kepada salah satu kertas kerja "Task Force" sekolah bestari yang dibentang dalam salah satu seminar tersebut.

Sebagaimana diketahui umum, sekolah bestari akan diwujudkan secara perintis pada 1 Januari, 1999.Penulis menggunakan panduan berikut untuk melahirkan busaya bestari itu di sekolah penulis.

Penulis mengajak semua guru dan kakitangan agar memikirkan kembali fungsi sekolah kami dan memberikannya nafas baru sebagai sebuah organisasi yang dinamik selaras dengan perkembangan terbaru Kementerian Pendidikan dan Negara Malaysia.Ia meliputi aspek pembelajaran, persekitaran pembelajaran, peranan guru, peranan pelajar dan cara menguruskan kurikulum perlu sesuai dengan era semasa.

Di sekolah ini perlu wujud cara-cara baru dalam menguruskan pentadbiran sekolah, pengurusan bilik darjah, pengurusan masa, dan penilaian pelajar. Sekolah kami perlu wujud sebagai sekolah yang "thinking-centred" dan "learning-centred". Dalam sistem pendidikan negara kita, elemen-elemen Sekolah Bestari diamalkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, penilaian pelajar, dan pentadbiran serta pengurusan sekolah. Jadi sekolah kami perlu mengamalkan:

  • Penggunaan komputer dan telekomunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran walaupun pada peringkat rintis, atau menerusi aktiviti Kelab Komputer [ telah dilaksanakan]. Begitu juga dengan Jadual Waktu Anjal, [ Kini dilaksanakan].
  • Kursus Kemahiran Befikir diberikan kepada guru. Guru-guru diberikan kursus-kursus mengenai " mastery learning" dan cara menerapkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran pelbagai mata pelajaran.
  • Kumpulan Mutu Kerja diwujudkan di sekolah bagi pelbagai aktiviti seperti pembinaan bahan, pelaksanaan kurikulum, dan pengindahan kawasan sekolah."Empowerment" dan "shared decision-making" dapat diamalkan dengan berkesan.

KONSEP "SEKOLAH BESTARI"

Pembelajaran yang bermakna [ meaningful learning ] dapat memupuk dan mempertingkatkan segala potensi yang ada pada pelajar secara cekap, ekonomis dan berkesan dengan menggunakan daya fikir, pengetahuan, kemahiran dan teknologi. Sekolah kami ingin mempamerkan beberapa elemen penting iaitu "smart learning" dan "smart teaching"; juga mengamalkan " smart use of technology", menggunakan , dan keseluruhan sekolah dikendalikan oleh "smart management".

  • "Smart learning"merupakan pembelajaran yang berpusatkan budaya berfikir dengan memanfaatkan sumber ilmu dan teknologi, serta menggunakannya secara menyeluruh dan bersepadu dalam berbagai-bagai situasi.
  • "Smart assessment" merupakan sistem penilaian yang mengambil kira "whole person development".
  • "Smart teaching" merupakan yang memanfaatkan ilmu serta menggunakan sumber dengan sebaiknya dan kaedah pengajaran yang mengambil kira ciri-ciri dan kebolehan pelajar.
  • "Smart use of technology" merupakan penggunaan teknologi khususnya yang berasaskan komputer dan telekomunikasi secara efisien dan efektif.
  • "Smart management" merupakan pengurusan yang cekap dan berwawasan.

INTIPATI DIMENSI SEKOLAH BESTARI

Sekolah kami berazam mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Berfikir dan keseluruhan interaksi dan proses yang berlaku di Sekolah Bestari sama ada dari segi pengajaran dan pembelajaran, pentadbir dan pengurusan adalah berasaskan pengoptimuman daya fikir. Budaya yang ditunjukkan adalah budaya yang menggalakkan kecenderungan berfikir melalui proses bertanya, menyelidik, percubaan, interasksi, pencarian maklumat dan sebagainya. Pengajaran dan pembelajaran tidak akan terbatas atas keupayaan pemerolehan pengetahuan dan penguasaan kemahiran semata-mata. Proses ini akan melonjak keluar daripada kongkongan yang bersifat menyekat dan terhad itu.
  • Integrasi dan Kurikulum "Sekolah Bestari" lebih berbentuk bersepadu. Ini memerlukan pendekatan thematic dalam pengajaran dan pembelajaran. Teknologi digunakan sebagai alat dalam semua aktiviti di SKTB supaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan efisien dan efetik. Misalnya, pelajar-pelajar menggunakan komputer untuk menaip, membuat grafik, mempelajari konsep yang sukar, dan mendapatkan maklumat yang terdapat dalam internet. Guru menggunakan komputer untuk menyampaikan pelajaran, menyimpan markah dan rekod pelajar. Pentadbir sekolah menggnakan komputer untuk membuat perancangan jadual waktu sekolah, enyimpan inventori, dan sebagainya.
  • Ekonomi dan penjimatkan masa, ruang, dan sumber. Misalnya, mengadakan "workstations" di dalam bilik darjah dan di tempat-tempat strategik boleh menjimatkan ruang bagi sebuah makmal, sama ada makmal komputer atau makmal bahasa. Penjimatan masa dengan penggunaan komputer dapat diperoleh dengan mengakses maklumat daripada internet. Ini juga dapat membantu kerja-kerja perkeranian. Penjimatan sumber seperti pengurangan penggunaan kertas dapat dilakukan. Masa pula dapat dikurangkan apabila pengumuman atau arahan disebarkan melalui rangkaian [ LAN atau WAN].
  • Kepelbagaian aktiviti yang bercorak integratif dan interaktif untuk memotivasikan pelajar berfikir dan menggalakkan pembelajaran aktif;kepelbagaian sumber pembelajaran dalam bentuk cetak, audio, video, dan multimedia adalah ciri "SKTB". Ciri ini juga mencakupi penggunaan pelbagai pendekatan dan strategi penyampian bagi memenuhi keperluan dan stail pembelajaran pelajar, misalnya, pembelajaran seluruh kelas, pembelajaran secara kumpulan, dan pembelajaran individu.
  • Fleksibiliti yang merangkumi pengurusan dan pentabiran sekolah yang peka dengan semua perubahan dan keperluan pelajaran dan guru-guru; penggunaan sumber dalam dan luar bilik darjah, jadual waktu yang anjal bagi pelajar dan guru; kurikulum yang boleh dirancang secara tema, isu, tugasan, aktiviti, projek, dan topik. Kaedah pengajaran yang mengambil kira perbezaan pelajar dari segi stail pembelajaran dan kemampuan belajar. Felksibiliti masa juga adalah perkara penting dalam pengedalian sekolah kami. Masa belajar dan masa pergerakan pelajar dari satu bilik mata pelajaran ke bilik mata pelajaran yang lain perlu diambil kira. Ini kerana murid akan mencari guru untuk mendapatkan pengajaran dan bukan sebaliknya.
  • Bertenaga [ energetic ] sebagai satu komuniti pembelajaran yang bertenaga, sekolah kami memerlukan usaha yang bersemangat [ spirited effort ]untuk tujuan kelestarian [ sustainability ]. Interaksi antara semua ahli sekolah kami merupakan interaksi yang dinamis dengan berteraskan kerjasama dan bantu-membantu [ collaborative ] antara pelajar-pelajar, guru-pelajar, dan pelajar-guru-pengurus.

PROSES PEMBELAJARAN

Proses pembelajaran " sekolah bestari" menunjukkan keinginan pelajar untuk mengetahui dan mendapatkan maklumat tambahan [ inquisitive ], mencuba [ experiment], dan mengolah sesuatu yang baru [ creative ] dengan menggunakan pelbagai sumber dan alat. Ke arah ini guru dan pelajar berinteraksi antara satu sama lain dan juga dengan teknologi. Pengajaran akan menunjukkan ciri-ciri berikut:

  • Pembelajaran yang lebih berbentuk aktiviti [ activity based ] secara kumpulan atau individu.
  • Pembelajaran yang lebih berbentuk " thematic" dan " networking". Aktiviti pembelajaran tidak semestinya berdasarkan satu kelas sahaja, tetapi boleh melibatkan beberapa kelas atau tingkatan yang berbeza [ setting ]. Ini dijalankan atas dasar penyediaan bilik darjah mengikut mata pelajaran seperti bilik sejarah, geografi, bahasa dan sebagainya.
  • Penggunaan berbagai-bagai alat pengajaran dan pembelajaran seperti komputer, "network", "robotics" dan video lebih banyak daripada penggunaan buku teks dan buku kerja.
  • Keseluruhan pengajaran dan pembelajaran memberi penekanan pada pelajar dan kurikulum dan bukan pada guru.
  • Guru berperanan sebagai fasilitator dan pembantu pembelajaran dan bukan semata-mata sebagai penyampai ilmu.

IMPLIKASI PELAKSANAANNYA

Proses pembelajaran di atas sudah tentu memerlukan perubahan pada pendekatan dan teknik pengajaran oleh guru. Ini mungkin memerlukan latihan semula untuk guru-guru secara menyeluruh supaya mereka memahami dan berupaya melaksanakan konsep pengajaran "Sekolah Bestari".

Kejayaan pendidikan ditentukan oleh proses pengajaran dan pembelajaran bukan sepenuhnya oleh faktor bangunan dan kemudahan fizikal. Dengan itu, proses pengajaran dan pembelajaran yang seharusnya menentukan bagaimana bentuk dan keadaan fizikal serta kelengkapan yang diperlukan di sekolah dan bukan sebaliknya. Berdasarkan ini, pembinaan " Sekolah Bestari" atau pengubahansuaian sekolah yang ada untuk dijadikan "Sekolah Bestari" harus mengambil kira keperluan berikut:

  • Keperluan ruang pembelajaran dan aktiviti yang berbeza-beza dari segi saiz peralatan. Ini memerlukan perancangan yang teliti. Dinding bilik darjah, misalnya, sesuai dibuat secara "collapsible" atau daripada bahan yang senang diruntuh untuk sebarang kerja ubah suai.
  • Segala perabot dan kelengkapan hendaklah yang mudah alih dan boleh digunakan dalam pelbagai situasi pengajaran. Keperluan untuk murid cacat juga perlu diberi perhatian dalam penyediaan perabot dan kelengkapan sekolah serta bilik darjah. Penyusunan perabot dan kelengkapan perlulah " smart setting".
  • Keperluan ruang untuk menempatkan berbagai-bagai teknologi seperti komputer dan TV bagi kegunaan pelajar dan guru di dalam bilik darjah.
  • Persiapan pendawaian elektrik dan air ke setiap bilik dan ruang supaya setiap bilik dan ruang boleh diubah penggunaannya untuk tujuan tertentu apabila diperlukan.
  • Keperluan ruang atau bilik khas untuk beberapa tujuan seperti "control room" untuk "network" studio video/rakaman, bilik kerja, dan sebagainya.
  • Mempunyai ciri-ciri keselamatan dan penjimatan.
  • Kekemasan yang menunjukkan "smartness".

FAKTOR - FAKTOR KRITIKAL KEJAYAAN

Perkara-perkara berikut sangat penting bagi menjayakan pelaksanaan budaya sekolah bestari.

  • Kurikulum yang ada perlu digubal bagi memasukkan elemen- elemen baru seperti kemahiran berfikir, belajar cara belajar, pelbagai kecerdasan, dan "mastery learning". Kurikulum itu juga perlu bersifat fleksibel dan seamless curriculum,dan dapat disesuaikan dengan keadaan.
  • Di "Sekolah Bestari" peranan juga tidak lagi terhad pada penyampaian pelajaran, tetapi lebih sebagai fasilitator, mentor, dan pengurus pengajaran. Guru-guru perlu dilatih bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dan peranan baru itu. Latihan meliputi tiga bidang, iaitu bidang ilmu, bidang methodologi, dan bidang pengurusan.
  • Dicadangkan supaya pelbagai alat penilaian digunakan di iaitu penilaian berasaskan sekolah, penilaian berterusan, penilaian berasaskan subjek, penilaian proses dan penilaian hasil. "Aauthentic assessment", "benchmarking", dan ujian/peperiksaan secara "on-line".
  • Peralatan, Perkakasan, Perisian perlu dibekalkan dengan peralatan dan perkakasan yang baik dan lengkap, sesuai dan mencukupi. Sekolah kami perlu mempunyai rangkaian [ LAN dan WAN ] bagi membolehkan pelajar-pelajar mengakses maklumat yang terdapat di sekolah dan di luar sekolah, dan juga untuk tujuan berkomunikasi. Perisian pendidikan juga perlu ada dan mencukupi.
  • Penyediaan tenaga sokongan seperti juruteknik dan pembantu guru perlu untuk kecekapan dan kelancaran pengurusan dan pengendalian pelbagai peralatan dan kelengkapan dalam pelaksanaan " Budaya Sekolah Bestari".
  • Sekolah satu sesi turut menjadi teras pelaksanaan.
  • Perancangan "Budaya Sekolah Bestari" tidak boleh mengabaikan perhatian terhadap "smart enviroment" di peringkat sekolah dan dunia amnya.
  • Pencapaian "Budaya Sekolah Bestari" akan terlaksana secara berperingkat-peringkat selaras dengan kemampuan sekolah kami.
  • Kejayaan pendidikan ditentukan oleh proses pengajaran dan pembelajaran bukan sepenuhnya diikat oleh faktor banguna dan kemudahan fizikal. Bangunan dan kemudahan fizikal disediakan atas kepentingan pengajaran dan pembelajaran itu.

Selain itu, audit kualiti yang merangkumi "quality assurance" adalah perkara yang penting untuk menentukan pelaksanaan " Budaya Sekolah Bestari" agar mencapai matlamat yang dihasratkan dan kualiti daripada semua aspek terjamin. Dengan itu satu sistem quality audting yang proaktif perlu diadakan untuk sekolah kami.

Budaya "Smart School" merupakan manifestasi bagaimana pembelajaran, pengajaran dan pengurusan sekolah seharusnya dilaksanakan dengan berlandaskan berfikir dan teknologi.Ini satu anjakan paradigma yang perlu kita lakukan demi meletakkan sekolah kami di paras "par " dengan sekolah bestari yang diwujudkan oleh Kementerian Pendidikan secara khusus dan lengkap.

[Diubahsuai daripada kertaskerja.Kumpulan Kerja "Smart School"Kementerian Pendidikan Malaysia.13 September 1996]