Penulisan Buku Online/ Book Writing Online
.

AWAL TAHUN ENAM PULUHAN

Memasuki Sekolah Menengah


Adik Penulis Bersama Kanak-kanak Awal Enam Puluhan

Empat orang rakan penulis dan penulis sendiri berhijrah ke ibu negeri kerana berjaya memasuki sebuah sekolah menengah aliran Inggeris terbesar di negeri penulis. Hanya lima orang sahaja daripada daerah dan pekan kelahiran penulis berjaya diterima ke sekolah menengah pada tahun itu. Sekarang ini, semua murid diterima masuk ke sekolah menengah pilihan ibu bapa. Ada juga pelajar yang mampu menolak tawaran belajar di sekolah berasrama penuh. Penulis rasa pelajar sekarang ini terlalu dimanjakan. Rakan sedarjah penulis menangis kerana tak diterima belajar lagi dan terpaksa berhenti begitu sahaja. Bertuahnya orang sekarang !


Penulis (2 Dari Belakang) Menyertai Perarakan Bulan Bahasa Kebangsaan


Penulis (Penulis Duduk Di Sebelah Guru Besar)
Sewaktu Menjadi Pengerusi Kelab Seni Lukis Sekolah
. Guru Seni Bercermin Mata Gelap.

Setelah diterima masuk belajar di maktab perguruan, penulis mengambil keputusan berhenti sekolah. Guru Besar dan guru-guru bergilir-gilir memanggil penulis dan menasihati penulis supaya tidak berhenti sekolah, kerana menurut kata mereka, penulis telah membuat keputusan yang salah. Salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa maktab yang penulis masuki itu merupakan maktab yang mengeluarkan guru-guru yang paling rendah tarafnya, iaitu guru-guru sekolah rendah. Menurut mereka penulis berpotensi untuk meneruskan pelajaran dan menjadi lebih berjaya kerana penulis pada waktu itu sentiasa mendapat kedudukan teratas dalam ujian dan peperiksaan. Lagi pun penulis hanya perlu menunggu beberapa bulan sahaja sebelum menduduki peperiksaan "School Certificate". Bagaimanapun, penulis nekad dan terus berhenti sekolah sebelum tamat tingkatan lima.

Penulis mula belajar di maktab dengan wang elaun bulanan sebanyak RM40.00 sebulan. Penulis masih berulang alik ke maktab dengan sebuah basikal buruk. Bila elaun pelajar dinaikkan penulis, selaku pemegang sijil Lower Certificate of Education" hanya mendapat RM125.00 sebulan dan rakan-rakan yang memiliki "School Certificate" atau Sijil Pelajaran Malaysia mendapat RM150.00 sebulan.

Bagaimanapun dengan wang elaun itu penulis berupaya membeli sebuah motosikal baru berharga RM800.00 untuk memudahkan penulis berulang alik ke maktab yang jauhnya enam kilometer dari tempat penulis tinggal.


Ini Kenderaan Bermotor Pertama Penulis, 1964


33 Tahun Kemudian, 1997

Angkat Najis

Penulis harap pembaca sekalian tidak terperanjat membaca kisah yang akan penulis ceritakan ini. Sebenarnya mereka yang seangkatan dengan penulis telah terlalu biasa dengan perkara ini. Ia mengenai tandas. Sekarang ini boleh dikatakan semua orang menggunakan tandas curah tembikar yang berkilat dan bersih. Najis disalirkan ke takungan serta tersimpan di sana hingga disedut oleh pihak berkuasa secara berkala. Selepas dijirus dengan kuasa air yang dipam, tidak siapa lagi dapat melihat najis yang kotor dan berbau itu.

Malangnya, dalam awal enam puluhan dan beberapa tahun sebelumnya boleh dikatakan keseluruhan tandas di pekan dan bandar menggunakan tandas angkut. Ini bermaksud najis manusia itu dibuang ke dalam sebuah tong yang kemudiannya diangkut oleh pengangkut najis pada waktu malam untuk dihantar ke suatu tempat khas dan ditanam. Pada waktu itu banyaklah peristiwa yang menggelikan hati berlaku. Penulis masih bersekolah. Kanak-kanak menjadi musuh ketat pengangkut najis. Ada juga di antara rakan-rakan penulis yang sempat dipukul dengan rotan pengacau najis bila mereka terperangkap di sesebuah sudut ketika mengintai apek pengangkut najis. Mereka akan lari bertempiaran dalam gelap malam apabila dikejar oleh apek pengangkut najis. Mereka terlalu marah kepada kanak-kanak kerana kanak-kanak menjadi pengganggu utama ketika mereka menjalankan tugas yang bergaji itu.

Soalan yang timbul di kepala penulis sekarang ialah mengenai kemampuan berfikir mereka yang berkuasa waktu itu yang sanggup mewujudkan cara penghapusan najis sedemikian, serta ada pula orang yang sanggup menerima upah mengangkut najis manusia secara manual begitu. Penulis rasa tentu tiada siapa yang sanggup membuat kerja sedemikian lagi sekarang.

Pengajaran daripada perkara ini adalah berkaitan dengan kemajuan dan perubahan. Kita sering mendengar perbincangan, forum dan seminar tentang kemajuan, perubahan sikap, pengganjakan paradigma dan sebagainya. Kita juga sering mendengar tentang mereka yang enggan berubah dan suka duduk di takuk lama. Sememangnya manusia amat sukar untuk berubah dan diubah. Mereka yang seumpama ini bolehlah dianggap sebagai orang yang masih suka hidup di zaman awal enam puluhan yang penulis ceritakan itu. Sekiranya terdapat orang yang sedemikian rupa di kalangan kaum pendidik, mereka merupakan kumpulan yang suka menarik orang ke belakang; melihat ke belakang, tetapi berjalan ke hadapan. Orang seumpama ini samalah seperti orang yang memandu kereta dan asyik melihat ke belakang menerusi cermin lihat belakang. Dari segi pengajaran dan pembelajaran, mereka seronok meniru rancangan pengajaran tahun sebelumnya. Jadi, guru 1998 bertanya guru 1997, guru 1997 bertanya guru 1996, guru 1996 bertanya guru 1995, guru 1995 bertanya guru 1994 dan begitulah yang berlaku tahun demi tahun. Tanpa disedari apa yang diamalkan dalam tahun 1998 mungkin amalan 1960 yang diulang tanya tahun demi tahun.

Di antara kelemahan kita ialah gemar bercakap mengenai kemajuan dan perubahan. Kita menyokong sebarang bentuk pembaharuan yang mendatang. Kita menghadiri forum dan seminar. Kita menghadiri kursus dan bengkel. Kita bercakap mengenai MSC dan IT dengan penuh semangat dan berapi-api. Tetapi, bila tiba masa bekerja kita buat segalanya dengan cara yang paling terkebelakang dan kuno. Kita enggan belajar komputer dan internet. Kita menolak dBase dan pemerosesan data. Kita hanya gila "Nouns" dan "adjectives"; kita tidak gila "Verbs". Kita selalunya menang sorak. Kita lambat dalam bertindak. Kita amat percaya bahawa kura-kura yang lambat itulah yang menjadi pemenang. Lantas, kita perpada-pada dengan "word processor". Kita leka melawat laman web orang lain, tetapi kurang berusaha untuk belajar HTML dan menulis laman web sendiri. Akhirnya kampung kita tergadai, menang kokok; ekor bergelumang tahi.

Jadi, nasihat saya kepada guru-guru yang masih baru dan muda ialah supaya cepat-cepat mengambil peluang belajar komputer, kerana ia asas kepada IT dan MSC. Seterusnya belajar bahasa HTML dan kuasai internet. Bila menulis laman web pula hendaklah yang "knowledge based"; tidak hanya berkisar di sekitar melebih-lebihkan hiasan dan menulis tentang soal-soal yang tidak bermanfaat. Penuhilah alam siber dengan bidang yang kita pakar untuk dimanfaatkan oleh insan yang lain. Insya'Allah kita akan mendapat berkat dan pahala jua.