Make your own free website on Tripod.com
Penulisan Buku Online/ Book Writing Online


AKHIR TAHUN ENAM PULUHAN

Menjadi Guru

Penulis mula keluar mengajar sebagai guru latihan maktab yang terlatih dan bertauliah pada 1 Januari, 1967 dengan mendapat gaji bulanan sebanyak RM210.00 dan bertugas sebagai guru kontrak. Penulis menghabiskan gaji bulan pertama dengan membeli pakaian dan cermin mata hitam yang agak bermutu. Motosikal yang penulis beli ketika dalam maktab masih digunakan kerana penulis sentiasa menjaganya dengan baik.

Bersama Murid-murid Dalam 1967

Penulis ditugaskan mengajar di sekolah yang bercantum pagar dengan rumah ibu bapa penulis di kampung kelahiran ibu penulis. Ibu penulis menjadi pengusaha kantin di sekolah yang sama. Jadi, penulis sebenarnya memulakan tugas sebagai guru di kampung sendiri. Bangunan sekolah seluruhnya diperbuat daripada almunium dan berangka besi "angle". Keadaan dalam bangunan tidak panas kerana bahan aluminium membalikkan cahaya matahari. Seperti yang telah penulis sebutkan; sekolah itu tidak mempunyai bilik guru dan kami duduk di merata tempat, termasuklah di bawah pokok atau di sekeliling sebuah meja ping-pong.

Pada tahun itu, banjir besar berlaku dan sekolah ditenggelami air lumpur sedalam dua meter. Penulis berenang ke sekolah untuk cuba menyelamatkan peralatan dan buku-buku tetapi gagal, kerana tiada tempat untuk menyimpannya.

Itulah tahun pertama dan terakhir mengajar di situ, kerana pada tahun berikutnya penulis mendirikan rumah tangga serta pindah ke daerah lain kerana mengikut isteri yang baru keluar maktab dan ditempatkan di sana.