.
|
AWAL TAHUN SEMBILAN PULUHAN
Program "Zero-Defect" Di Sekolah Penulis
- Definasi dan Konsep:
Keadaan sekolah atau situasi sekolah yang mempunyai suasana tanpa kegagalan atau tanpa masalah; tiada kerosakan, tiada pembaziran dan sebagainya. Tegasnya, dalam konteks sekolah ini adalah sebagaimana senarai berikut:
- Tiada masalah disiplin (salahlaku).
- Tiada masalah dadah.
- Tiada kegagalan dalam peperiksaan.
- Tiada Tandas yang kotor.
- Tiada pembaziran sumber.
- Tiada pembaziran masa.
- Tiada pembaziran wang.
- Tiada kelewatan menghantar surat.
- Tiada kelewatan menjawab surat.
- Tiada kelewatan membayar tuntutan.
- Tiada pelanggan (murid-murid) yang tidak berpuas hati.
- Prasyarat Mencapai "Zero-Defect"
- Sekolah penulis mempunyai wawasan sebagaimana pernyataan berikut :
"BAHAWA SESUNGGUHNYA WAWASAN SEKOLAH KEBANGSAAN TENGKU BARIAH, KUALA TERENGGANU IALAH UNTUK MENUJU KE ARAH KESEMPURNAAN PENCAPAIAN MATLAMAT DAN TUNTUTAN PENDIDIKAN SEKOLAH KEBANGSAAN SELARAS DENGAN YANG DIGARISKAN DALAM WAWASAN PENDIDIKAN DAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA".
- Sekolah penulis mempunyai perancangan serta
bermatlamat. Ini digariskan dengan terperinci dalam buku panduan tugas guru yang dikeluarkan kepada semua guru.
- Warga Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah dibudayakan secara sedar atau tidak sedar agar komited kepada matlamat pencapaian wawasan.
- Sekolah penulis menjadikan kecemerlangan am, kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum sebagai piawai sasaran maksimum dan sasaran kuantiti terbanyak dalam semua bidang sebagai piawai sasaran minimum.
- Sekolah penulis mempunyai sistem kawalan, pengesanan dan penilaian yang berkesan untuk mempastikan kawalan mutu (QC) menerusi amalan motivasi berterusan dan perjumpaan berkala antara staf dan Guru Besar membincangkan berbagai masalah yang mungkin timbul untuk diatasi bersama.
- Sekolah penulis mempunyai misi sebagaimana pernyataan berikut:
Bahawa sesungguhnya misi Sekolah penulis ialah untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan semua program dan aktiviti am, kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid dan keagamaan untuk melahirkan insan yang berilmu, beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia.
- Misi Sekolah penulis bercirikan:
- Penambahbaikan berterusan.
- Penglibatan seluruh warga SKTB.
- Tindakan yang strategik.
- Pengorientasian dan matlamat jangka pendek, sederhana
dan panjang.
- Pengawalan kos dan kualiti.
- Tindakan pencegahan yang berkesan.
- Penekanan kepada kualiti yang tinggi.
- Penyelesaian masalah yang sistematik.
- Langkah-langkah dan Tindakan
- Penyediaan Piagam pelanggan sebagaimana pernyataan berikut:
" Guru Besar, Penolong-penolong Kanan, Guru Kanan dan semua guru sekolah ini dengan bantuan kakitangan bukan akademik dan jabatan akan memberikan khidmat berikut kepada semua pelanggan berteraskan budaya cemerlang, budaya ilmu, sekolah penyayang, Falsafah Pendidikan Negara, Wawasan Pendidikan
serta Wawasan 2020 tanpa pilih kasih:
* Peluang sepenuhnya kepada setiap orang murid untuk memperkembangkan potensi individu mereka dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek dalam
bidang kurikulum dan kokurikulum.
* Didikan keagamaan kepada murid Islam meliputi aspek bacaan Al-Quran,
Fardhu 'Ain dan semua yang berkaitan dengan keagamaan termasuk menulis Jawi hingga ke tahap tanpa kecacatan (Zero Defect).
* Pengajaran semua mata pelajaran dengan penekanan khusus kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris dengan menggunakan kaedah dan kesungguhan yang berkesan demi kecemerlangan dalam UPSK.
* Bantuan dan layanan yang lebih kepada murid-murid lemah demi penghasilan lulusan SKTB tanpa "deficit" dengan kesedaran bahawa kumpulan inilah sebenarnya yang sangat memerlukan perhatian dan bimbingan istimewa; bukan yang sudah cemerlang.
* Menyediakan kemudahan fizikal serta peralatan dan bahan pendidikan yang terkini dan mencukupi untuk kegunaan semua murid tanpa prajudis dan tanpa kecuali.
* Menyediakan pengurusan data dan maklumat berkomputer semua murid untuk rujukan semua ibu bapa/ penjaga pada bila-bila masa.
* Menyediakan bantuan untuk murid-murid miskin dalam bentuk makanan, peralatan dan kewangan dengan menggunakan wang tabung atau wang
kerajaan yang dibenarkan.
* Menanamkan budaya suka membaca dan kegemaran merujuk.
* Patuh kepada sebarang peraturan dan pekeliling kerajaan semasa yang terpakai demi kebaikan pelanggan.
* Perkhidmatan mesra, dedikasi dan mengutamakan pelanggan daripada seluruh masyarakat SKTB dengan penuh muafakat dengan ibubapa/penjaga.
- Mewujudkan pengurusan sistem biro dan "Rescue Teams" sebagaimana berikut:
- BIRO AM (PENTADBIRAN & KEWANGAN)
- BIRO KURIKULUM.
- BIRO HAL EHWAL MURID.
- BIRO KOKURIKULUM.
- Kurikulum
- Perjumpaan Mingguan antara Guru Besar dengan guru-guru Tahun 6
diadakan bagi mengatasi dan menyelesaikan masalah secara
bermuafakat.
- Perjumpaan Mingguan antara Guru Besar dengan guru-guru tahun 1
diadakan bagi mempastikan pencapaian matlamat 100 peratus tanpa
kecacatan sebagaimana sasaran dalam jangka masa tiga bulan.
- Menjadikan semua guru sebagai guru pemulihan.
- Memberikan hak pembelajaran dan pengajaran yang lebih istimewa
kepada murid lemah; tanpa pengabaian serta tidak menjejaskan
hak murid elit.
- Melancarkan "Bulan Nadi Pengajaran Pembelajaran" sepanjang
bulan Februari bagi meningkatkan kesedaran tentang
penggunaan media dan PSS.
- Mewujudkan budaya "Buku Di Tangan" bagi murid tahap II.
- Mewujudkan Pondok Al-Quran di mana acara membaca Al-Quran
diadakan setiap waktu rehat.
- Mewujudkan kad rekod akademik bersepadu.
- Mengadakan kad analisis mata pelajaran bagi ujian dalaman.
- Mempastikan semua draf soalan ujian bulanan disemak oleh Guru
Besar terlebih dahulu sebelum ditaipkan ke stensil untuk memenuhi
konsep (TQM) Do-Right-The-First-Time.
- Mengedarkan penerbitan yang berunsur motivasi dari semasa ke semasa
untuk bacaan Warga SKTB.
- Melancarkan program membaca senyap selama 5 minit setiap naik waktu
rehat bagi seluruh warga SKTB (murid,guru,kakitangan,Guru Besar) untuk menanamkan budaya membaca di SKTB.
- Memindahkan Bilik Media ke bahagian pejabat sekolah untuk memudahkan
penggunaan.
- Mengadakan pengurusan data maklumat guru, murid dan lain secara berkomputer bagi memudahkan pentadbiran am, kurikulum, hal ehwal
murid dan kokurikulum.
- Melaksanakan projek cemerlang bagi murid Tahun 6.
- Memulihkan kecacatan dalam fardhu ain menerusi senarai semak
yang mengandungi nama setiap orang murid.
- Menyediakan pondok bacaan dengan buku-buku dalam bakul
untuk bacaan murid pada waktu rehat.
- Kokurikulum
- Mengistiharkan SKTB sebagai sekolah bola sepak (L)
dan sekolah hoki (P) sebagai projek berterusan dan
latihan sepanjang tahun.
- Sistem rumah sukan mengikut nama kelas (Delima,Fairus,
Nilam,Zamrud) daripada Tahun 1 hingga Tahun 6.
- Mengadakan kelab dan persatuan yang aktif dan berfungsi
untuk dimanfaatkan oleh murid semaksimum mungkin sebagai
penyokong kepada kurikulum.
- Mengadakan olahraga tahunan tiap-tiap tahun.
- Menyertai semua kegiatan peringkat PKG, daerah
dan negeri.
- Hal Ehwal Murid
- Meneruskan program Tabung Sayang Di Sayang.
- Mengamalkan konsep sekolah penyayang.
- Melaksanakan program RMT secara berkesan.
- Didikan menabung dan membuka akaun bank simpanan
dengan sasaran 100 % menabung dilaksanakan.
- Perhebatkan unit Bimbingan dan Kaunseling dengan
aktiviti yang boleh mendorong pembelajaran
di kalangan murid-murid.
- Mengadakan peraturan sekolah bagi membantu murid
mengamalkan budaya dan perilaku sihat serta memupuk
nilai-nilai murni.
- Budaya menghantar surat dan berjumpa ibubapa dalam
hal yang berkait dengan anak-anak mereka diamalkan.
- Am & Kewangan
- Mengadakan sistem fail bepusat yang kemaskini.
- Pendekatan musyarawah dan penurunan kuasa secara
kolegial yang berkesan.
- Mengamalkan "Reflective Rationality" dan menonjolkan kelebihan
staf.
- Menimbulkan rasa sepunya di kalangan staf.
- Memberikan tanggungjawab menyediakan budget
masing-masing kepada guru dan staf.
- Budaya penyayang dilaksanakan menerusi program
penyayang seperti merayakan hari jadi staf di bilik
guru serta amalan menyediakan kad harijadi untuk staf.
- Mengadakan mesyuarat staf bulanan dengan diberikan
kebebasan untuk semua orang menyuarakan pandangan
tanpa sekatan dengan Guru Besar hanya sebagai pengerusi
serta mesyuar di adakan di bilik-bilik darjah secara
bergilir-gilir untuk memberikan peluang bagi murid kelas
berkenaan menyambut semua guru ke kelas mereka
dengan upacra yang ringkas tetapi berkesan dalam
sanubari murid-murid selaku hos tempat mesyuarat staf.
- Mengamalkan budaya prihatin dan mengambil berat tentang
kebajikan staf.
- Mengamalkan pendekatan "Human Resources Management"
- Sesungguhnya, segala yang dirancang ini merupakan ilham yang dicetuskan oleh Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid bin Mohd Noordin, bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (1993) yang telah banyak menyumbang ide dan secara kebetulan penulis merupakan orang yang telah mengikuti trend pemikiran beliau semenjak penulis seorang pengetua di sekolah menengah dahulu. Adalah diharapkan setiap yang dirancang dapat dimanfaatkan oleh murid-murid kita sepenuhnya demi masa depan mereka, insya'Allah.
Berkursus Di Kanada
- Seramai 24 orang Guru Besar seluruh Malaysia telah dihantar oleh Kementerian Pendidikan berkursus selama 5 minggu di Ontario Institute for Studies in Education (OISE), Toronto, Ontario, Canada mulai 11 Oktober,1994 hingga 12 November,1994 dalam bidang Special Certficate in School Leadership. Kami bertolak ke Canada pada 8 Oktober,1994 dan tiba di Toronto, Canada pada 9 Oktober,1994. Di samping berpeluang belajar selama empat minggu serta melawat Ottawa, Niagara Falls dan beberapa tempat yang menarik, semua Guru Besar tersebut dihantar membuat pemerhatian selama seminggu di sekolah-sekolah rendah dan menengah di wilayah Scarborough, Ontario. Kami mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Scarborough Centre of Education yang dipimpin oleh Pengarah Pendidikannya, Earl G.Campbell serta pengetua sekolah rendah dan menengah yang terlibat.
Lawatan Ke Sekolah.
- Selaku salah seorang peserta, penulis berpeluang melawat William Tredway Junior Public School selama seminggu. Waktu dan kesempatan yang diberikan itu telah penulis manfaatkan sepenuhnya dengan membuat pemerhatian, penggambaran foto dan penggambaran video untuk dibawa pulang ke tanah air demi kebaikan rakan-rakan Guru Besar, guru-guru dan murid-murid Malaysia. Pengetuanya, Encik Fred Huggett, memberikan layanan dan kerjasama yang amat baik semasa penulis berada di sekolahnya. Malah, seluruh warga William Tredway Jr. menerima penulis dengan tangan terbuka dan mesra. Guru-guru menyampaikan berbagai maklumat berkait dengan sekolah mereka.
- Sebagai sebuah negara maju dan kotaraya, Toronto, pula lewat 12 jam daripada negara kita Malaysia serta terpisah dengan kira-kira 21 jam waktu penerbangan melalui Tokyo dan Los Angeles, tentu sekali terdapat banyak perbezaan dalam berbagai aspek. Bagaimanapun, dalam pemerhatian penulis, negara kita Malaysia tidak banyak ketinggalan jika dibandingkan dengan negara Canada, khususnya apa yang terdapat di Toronto dalam budaya kerja serta pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
- Namun begitu, sebagai sebuah negara membangun, Malaysia perlu mencontohi berbagai perkara yang difikirkan positif demi mencapai kemajuan yang lebih baik selaras dengan hasrat pencapaian wawasan 2020 yang diimpikan oleh kita semua.
Budaya Kerja.
- Perkara utama yang perlu disebutkan ialah tentang budaya kerja yang tinggi guru-guru dan staf sekolah di sana. Ia bukan sahaja berlaku di sekolah William Tredway, kerana perkara ini disahkan oleh rakan-rakan peserta yang berkunjung ke sekolah-sekolah lain di Scarborough. Bilik guru sentiasa kosong dan guru-guru, staf dan pengetua hanya ke bilik guru pada waktu rehat atau waktu lunch. Sebahagian besar waktu mereka di sekolah dihabiskan dalam bilik darjah, perpustakaan atau menjalankan berbagai aktiviti di tempat lain bersama murid-murid. Guru-guru dan kakitangan kelihatan aktif sepanjang masa dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 4.00 petang. Mereka sangat mementingkan masa dan tiada amalan datang lewat untuk bertugas.
Ciri Sekolah Yang Baik.
- Ciri berikut dapat dikesan menjadi budaya di William Tredway Jr.
- Setiap orang di sekolah ini menjadi kumpulan yang gemar belajar ( murid, guru dan pentadbir).
- Sekolah ini merupakan tempat terhimpunnya pemimpin-pemimpin.
- Kualiti perhubungan antara guru dengan guru, guru dengan Guru Besar dan ibu bapa terjalin dengan baik. Perbualan mereka sentiasa mengenai amalan pendidikan; bukannya mengenai saham atau pilihanraya. Mereka kelihatan ada partnership dan "sharing with one another."
- Sekolah ini merupakan tempat di mana semua orang dengan sengaja dan sukarela mahu berada dan bekerja bersama-sama.
- Perbezaan pendapat dihormati dan perbezaan pendapat dianggap sebagai sesuatu yang sihat.
- Terdapat mereka yang selalu bertanya, "Bagaimana?" dan "Mengapa?"
- Terdapat rasa kelucuan dan kelakar; tanpa "seriousness' sepanjang masa.
- Mutu dititikberatkan.
"Code of Behaviour."
- Sekolah ini mengeluarkan risalah "Code of Behaviour" untuk digunapakai oleh seluruh warga sekolah serta ibu bapa atau penjaga murid. Pada muka hadapan risalah yang mengandungi empat muka surat itu terdapat logo sekolah dan moto yang berbunyi, "Learning Grows When We Get Along, Solve Problems and Feel Good About Ourselves " serta lapan nilai asas; iaitu :
- Menghormati diri sendiri.
- Menghormati orang lain.
- Keadilan.
- Bertolak ansur.
- Kejujuran.
- Kerjasama.
- Percaya kepada hak demokrasi serta tanggungjawab.
- Kepercayaan asas dalam harga diri manusia tidak kira umur, keturunan,suku kaum, agama, kecacatan, jenis atau bahasa.
- Kedatangan.
- Penyertaan.
- Menghormati diri sendiri dan orang lain.
- Menghormati hartabenda dan persekitaran.
- Kesihatan dan keselamatan.
- Dalam muka surat empat terdapat petunjuk kelakuan baik seperti :
- Pencapaian akademik yang meningkat.
- Pertambahan dalam pengiktirafan ibu bapa, rakan dan staf.
- Perhubungan positif dengan orang lain.
- Bertambahnya perasaan positif dan nilai diri.
- Meningkatnya kemahiran bergaul.
- Peningkatan tingkat kebebasan.
- Peningkatan dalam peluang dalam tanggungjawab kokurikulum dan kelebuhan lain.
- Dalam mukasurat ini juga digariskan tindakan akibat daripada keadaan tidak mengikuti "Code of Behaviour" :
- Temuduga dan semakan semula kelakuan .
- Sekatan kemudahan.
- Penggantian bagi sebarang kerosakan atau kehilangan.
- Ibu bapa dipanggil.
- Kakitangan sokongan dari jabatan dilibatkan.
- Gantung persekolah.
- "Home instruction"
- Perjanjian tingkahlaku dan kaunseling.
- Tahanan.
- Penglibatan pengetua.
- Temuduga formal dengan murid, guru,ibu bapa dengan guru besar.
- Kaunseling oleh pihak luar.
- "Referral for alternate attendance,fresh start transfer".
- Cadangan untuk pemecatan oleh jemaah (board).
- Pada akhir risalah terdapat kata-kata :
- We "All" make William Tredway, A GREAT PLACE TO BE!
Budaya Penyayang dan Amalan Memberi Pujian.
- Pemupukan rasa kasih sayang berlaku dengan hebatnya di kalangan guru-guru, murid-murid dan lain-lain. Suatu hari, seorang murid kecil datang ke bilik pengetua (Guru Besar) dan berkata, "Hello! Mr. Huggett .... Would you like to see what I did in the class today?", sambil menunjukkan hasil kerjatangan yang dibuatnya. Penulis sendiri berada bersama pengetua pada waktu itu. Secara sepontan Fred (Mr.Huggett) berkata, " Hai ! Let me see it ! Oh! It's very nice. When did you do it?" . Murid itu tersenyum riang kerana dipuji oleh Fred; kemudian pulang ke kelasnya semula dengan penuh kepuasan. Demikianlah perihal budaya murid-murid di sana yang sentiasa mendapat perhatian dan kasih sayang daripada pengetua dan guru-guru. Budaya menyapa diamalkan setiap masa. Saya perhatikan naib pengetuanya (Penolong Kanan), Jill Watson, tidak terjawab disapa oleh murid-murid kecil dan besar sewaktu saya berjalan dengan beliau di kawasan sekolah pada waktu rehat. Mereka mengucapkan, "Hi ! Mrs. Watson; How are you Mrs. Watson; How are you doing Mrs.Watson atau Where are you going, Mrs Watson?" dan setiap sapaan dijawab penuh mesra oleh beliau.
- Memberikan pujian bukanlah suatu perkara mudah dalam kehidupan kita di Malaysia. Ini mungkin budaya dan cara hidup kita yang sentiasa beranggapan bahawa tanpa menyatakan apa-apapun orang sedar kita memuji mereka. Inilah perkara yang menyebabkan seorang suami yang pulang dan makan hidangan isteri yang sedap sehingga kenyang dan merasakan tidak perlu memberikan apa-apa pujian kepada isteri kerana memasak masakan yang sedap itu. Si isteri tentu akan merasa cukup seronok kalau si suami dapat keluarkan walaupun hanya pujian seperti,"Sedapnya masakan hari ini!". Si isteri tentu akan cuba memasak lauk yang lebih sedap pada masa akan datang.
- Demikianlah halnya dengan murid-murid di Canada. Mereka dilayan dan dipuji dengan penuh mesra. Sehubungan dengan itu penulis terlihat satu senarai panjang mengenai 101 cara memuji murid-murid yang dipamerkan dalam perpustakaan sekolah; lantas meminta guru perpustaannya, Elezabeth, menyalinnya untuk penulis bawa pulang ke Malaysia. P enulistelah pun menyebarkan senarai itu sewaktu menyampaikan tiga ceramah penulis kepada Pengetua,Guru Besar dan guru-guru di negeri penulis sekembalinya penulis dari Canada. Di antara ungkapan yang terdapat dalam senarai tersebut adalah seperti: You are great; Good job; Hot Dog; You mean the world to me; Say I love you dan lain-lain. Ungkapan untuk memuji seumpama ini amat banyak dalam bahasa kita. Kita perlu menggunakannya secara maksimum agar budaya memberikan pujian ini boleh merangsang pembelajaran di kalangan murid-murid kita. Mereka akan merasa dihargai dan perasaan begini amat berfaedah bagi murid-murid yang masih kecil agar mereka terdidik dalam suasana dan perasaan yang terpupuk dan segar.
- Kita hendaklah mengelak daripada amalan sukar untuk menyatakan perasaan. Kita hendaklah mengelak daripada amalan membuat andaian-andaian tentang pemahaman orang lain mengenai apa yang kita fikirkan. Tanpa memberitahu fikiran kita yang sebenar, kita mahu orang merasakan apa yang kita fikir itu. Ini tidak mungkin boleh terjadi. Jika kita perlu mengeluarkan kata-kata pujian, kita hendaklah mengeluarkannya tanpa segan silu. Ini amat berfaedah kerana orang yang kita puji akan merasa amat selesa dan seronok, apa lagi jika orang yang kita puji itu terdiri daripada murid-murid yang masih kecil. Kata-kata pujian merupakan ubat yang amat mujarab untuk memotivasi sesiapa sahaja.
- Guru-guru pula dipuji oleh pengetua dalam perhimpunan kerana sesuatu kejayaan yang dicapai oleh murid-murid. Penulis sempat menyaksikan upacara penyampaian medal kepada pemenang merentas desa peringkat province di mana guru-guru yang menjadi jurulatih dipuji dan diberikan tepukan bergemuruh oleh semua murid dan guru. bukan itu sahaja, ibu bapa murid yang berjaya itu juga hadir di dalam perhimpunan dan mereka hadir tanpa dijemput. Inilah budaya yang menjadi amalan harian mereka dan kita perlu menirunya untuk menjadi maju seperti mereka dalam pendidikan. Murid-murid dan guru-guru mereka bekerja dalam suasana penuh bermotivasi.
Budaya Menyelidik.
- Murid-murid di William Tredway Jr. ini dilatih membuat penyelidikan dan rujukan secara terpimpin. Tiga atau empat orang guru terlibat mengajar dan membimbing murid-murid sebuah kelas dalam usaha penyelidikan di perpustakaan. Mereka memanggil kaedah ini sebagai partnership teaching. Ini merupakan satu cara mendedahkan ciri penting pendidikan di peringkat rendah dan murid-murid sekolah rendah di Malaysia perlu mengalami perkara yang serupa demi mencapai kemajuan sebagaimana yang sedang dikecapi oleh murid-murid di negara maju seperti Canada. Guru-guru tahun 6 mungkin boleh membawa 40 orang murid ke perpustakaan dan membahagikan murid kepada empat kumpulan menjadikan sepuluh orang murid dalam satu kumpulan. Empat orang guru mungkin boleh mengendalikan kumpulan yang dibentuk itu. Setiap kumpulan boleh berbincang empat perkara yang berlainan di bawah pimpinan guru. Mungkin kumpulan yang bersidang itu boleh membuat penyelidikan mengenai Penulisan, Pemahaman, Matematik dan Bahasa Inggeris secara serentak mengikut kumpulan.
Seperti Budaya KBSR 1983.
- Budaya KBSR seperti yang terdapat dalam tahun 1983, iaitu peringkat awal pelaksanaan KBSR di Malaysia, sedang giat dijalankan di Canada. Alat bantu mengajar digunakan dengan hebatnya di semua bilik darjah. Bahan pengajaran dan pembelajaran dipamerkan di dalam dan di luar kelas. Malah, alatan dan bahan terdapat bergantungan di dinding dan di siling. Ini jelas membuktikan bahawa sekiranya kita di Malaysia terus mengamalkan budaya KBSR hingga sekarang, kita sebenarnya setara dengan negara maju. Kita tidak perlu merasa terbeban menyediakan berbagai alat dan bahan bantu menjagar kerana ia merupakan budaya harian di negara maju seperti Canada.
- Meja murid terdiri daripada meja bulat yang dikongsi oleh empat orang murid dan di tengah meja terdapat bakul berbagai alatan seperti warna, pensel, gam dan berbagai keperluan lain murid-murid.
Ibu Murid Dalam Bilik Darjah.
- Ibu murid hadir ke sekolah dan membantu pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dan perpustakaan. Mereka diterima baik oleh guru-guru dan pihak sekolah sehingga ada yang masuk ke bilik guru serta menyediakan minuman dan makan bersama guru-guru pada waktu rehat atau waktu makan (lunch). Pada mulanya penulis menyangkakan ibu yang penulis jumpai dalam kelas itu seorang guru. Bila diajak berbual nyatalah beliau adalah seorang ibu dan sedang membantu guru menggunting dan menampalkan gambar untuk dijadikan alat bantu mengajar bagi kelas di mana anaknya belajar. Inilah apa yang dipanggil pengelibatan ibu bapa dalam bilik darjah. Di sebuah sekolah lain di mana kami diraikan oleh pengetua-pengetua Scarborough, terdapat seorang ibu yang sedang memasak dan menghidangkan makanan untuk kami. Inipun merupakan satu cara penglibatan ibu bapa yang sangat positif.
- Pendek kata penglibatan ibu bapa dialu-alukan; tidak seperti di Malaysia di mana kehadiran ibu bapa di sekolah sebahagaian besarnya adalah untuk membawa komplin dan kata nista. Guru-guru pula merasa kurang selesa apabila ibu bapa masuk ke dalam bilik darjah. Perkara ini perlu diubah agar keadaan yang terdapat di Canada itu dapat dipraktikkan di sini, lantas murid-murid mendapat manfaat yang maksimum daripadanya. Murid-murid yang lemah dalam pembelajaran di bilik darjah mungkin dapat dibantu oleh ibu bapa yang berada di bilik darjah itu.
- Penulis diberitahu bahawa ibu yang datang membantu itu datang atas kehendak sendiri mengikut waktu terluang yang mereka ada tanpa mendapat apa-apa upah. Kerja sukarela ini nampaknya menjadi budaya di Canada kerana amalan ini berlaku di semua sekolah.
Proaktif dan Kolaboratif.
- Akibat daripada mendapat kepercayaan pihak pengurusan dan jabatan, guru-guru di sana merupakan kumpulan yang proaktif serta menjalankan tugas secara kolaboratif. Mereka benar-benar melayani kerenah murid-murid secara bersungguh-sungguh dengan tujuan mendidik anak-anak yang diamanahkan kepada mereka itu agar mereka menjadi terdidik dan pandai; bukan untuk lulus peperiksaan semata-mata, kerana mereka tidak mempunyai peperiksaan awam seperti UPSR di peringkat sekolah rendah. Semua penilaian berlaku secara berasaskan sekolah (school-based).
- Guru-guru kelihatan amat aktif dan menggunakan berbagai media dalam pengajaran sama ada dibuat sendiri atau alat bantu yang telah sedia ada di sekolah.
- Pihak pengurusan pula kelihatan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada guru-guru. Ini sebenarnya kunci kepada keseronokan berkerja di kalangan guru-guru. Sekiranya kita sedar bahawa kita mendapat kepercayaan ketua dan organisasi, kita akan menjalankan tugas kita dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan. Setiap orang mendapat kepuasan bekerja yang maksimum. Di sebaliknya, jika ciri-ciri tidak dipercayai dapat dirasakan, semua tugas akan dilaksanakan secara separuh hati dan minimum.
Bilik Guru.
- Bilik guru merupakan tempat di mana mereka hadir untuk makan atau membuat minuman sahaja. Meja sentiasa kelihatan bersih dan kosong tanpa longgokan buku-buku dan lain-lain. Selain itu di bilik guru terdapat kemudahan seperti coffee mixer, microwave, peti ice, dish washer sudu cawan dan pinggan mangkuk.
- Apabila mereka berkumpul pada waktu makan (lunch), mereka rancak berbual mengenai kerja buat mereka sebagai pendidik. Tiada percakapan mengenai politik atau saham.
Newsletter.
- Newsletter merupakan satu cara penyampaian maklumat yang popular di Canada. Selain itu mereka juga mengadakan berbagai risalah untuk disebarkan kepada ibu bapa. Ini menyebabkan ibu bapa dan masyarakat mendapat maklumat yang cukup dan terkini mengenai sekolah anak-anak mereka.
Learning From One Another.
- Amalan belajar daripada rakan sebaya diterapkan ke dalam diri guru dan murid-murid. Mereka amat meghargai kebolehan rakan-rakan dan kelebihan yang terdapat di kalangan mereka sesama sendiri ini dimanfaatkan sepenuhnya. Budaya mengikuti kursus yang disampaikan oleh mereka yang ternama masih diamalkan tetapi ia merupakan cara yang mahal kerana setiap guru terpaksa memohon untuk berkursus dan pemohon dikehendaki membayar untuk mengikuti kursus yang dipohon itu.
|